Tuesday, 11 March 2014

Kemungkinan MH370 Dirampas

OPERASI mencari dan menyelamat pesawat MH 370 sudah masuk hari ketiga  semalam namun tiada sebarang penemuan ataupun petunjuk baharu berkaitan  kehilangan pesawat itu.

Ketika ini teori yang mengatakan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal  itu dirampas pengganas semakin kuat ditambah dengan maklumat awal  bahawa kapal terbang itu dikesan cuba berpatah balik seperti yang disahkan oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri  Rodzali Daud.

Menurut Rodzali, ia dikesan menara kawalan Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth serta bilik kawalan beberapa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengawasi keselamatan kawasan Laut China Selatan serta Unit Kawalan dan Pengawasan  Trafik Udara Singapura. Namun  kes ini juga dilihat menjadi semakin  rumit dan bertambah misteri  selepas tiada langsung isyarat kecemasan  diterima oleh mana-mana menara kawalan udara baik di Lapangan Terbang KLIA, Vietnam atau China sebaik isyarat pesawat pada radar lenyap.

Rodzali  juga mengesahkan ada empat peringkat sistem kecemasan mampu beroperasi sendiri dalam pesawat itu hingga membolehkan sebarang isyarat kecemasan dihantar secara automatik kepada menara kawalan berhampiran.

Justeru katanya, kebarangkalian kapal terbang dirampas tetap ada.

Malah dalam sidang media semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan  perkara itu terjadi dan sedang meneliti segala kemungkinan yang boleh berlaku.

Menurut beliau, wujud juga persoalan kapal tersebut dirampas dan tidak menolak kemungkinan (rampasan) kerana pihaknya sedang melihat kepada semua aspek kemungkinan.

Tambahnya, bagaimanapun, andai benar berlaku rampasan, setakat ini belum ada sebarang tuntutan yang dibuat oleh mana-mana pihak dan tiada radar dikesan jika pesawat itu terbang ke arah lain.

Lebih menggusarkan, operasi pencarian kini  beralih  di kawasan perairan Selat Melaka selepas  operasi melalui pesawat dan kapal tertumpu di kawasan seluas 3,900 batu persegi di Selatan Vietnam dalam perairan Teluk Thailand dan Laut China Selatan menemui kegagalan.

Terbaru, dua penumpang yang menggunakan pasport  dicuri dari pemilik asalnya  merupakan warga Austria dan Itali telah menguatkan lagi dakwaan ianya ada kena mengena dengan kehilangan pesawat itu.

Menurut sumber dua individu itu gunakan pasport yang dilaporkan hilang di Thailand pada 2012 dan 2013.

Mereka dipercayai membeli tiket di Pattaya, Thailand sebelum menggunakan laluan darat untuk masuk semula ke Malaysia.

Kedua-duanya dipercayai menempah tiket syarikat penerbangan  China Southern Airlines yang mempunyai perkongsian kod dengan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menaiki pesawat MH370  ke Beijing menggunakan pasport itu.

Malah teori pesawat mengalami masalah teknikal susulan penemuan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu Nautika dari pantai Tok Bali, Bachok kelmarin juga meleset selepas pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengesahkan  tompokan minyak yang diuji Jabatan Kimia  Petaling Jaya itu hanyalah minyak bunker yang tidak digunakan oleh kapal terbang.

Sesetengah pendapat mengatakan pesawat itu meletup  di udara ataupun terhempas  juga nampaknya tersasar jauh selepas tiada sebarang serpihan pesawat ditemui. Ini ditambah penemuan cermin pintu  di perairan Vietnam semalam disahkan bukan dari pesawat berkenaan.

Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon) juga mengesahkan melalui sistem pemantauannya, tiada sebarang letupan besar  direkodkan berlaku di seluruh dunia pada tarikh pesawat itu dilaporkan hilang.

Jika terhempas sekalipun ke dalam air menurut pendapat pakar, anak kapal dan penumpang mempunyai masa lebih kurang setengah jam  untuk keluar dan menyelamatkan diri kerana pesawat terbaik di dunia itu  tidak akan tenggelam serta merta.

Apakah mungkin teori bahawa pesawat ini dirampas pengganas  dan dibawa ke satu lokasi rahsia di sekitar Asia dan menanti rundingan diadakan benar-benar berlaku? Apakah ada perancangan rapi  kumpulan tertentu untuk melakukan tindakan sedemikian?

Menjawab persoalan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihaknya berjanji tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berhubung insiden kehilangan pesawat MH370.

Jelasnya mengenai, surat terbuka daripada China Martyr Brigades yang mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat berkenaan, Hishammuddin berkata, beliau ada menerima laporan mengenai perkara tersebut dan sudah pun membaca surat itu.

Katanya, penyiasatan akan dilakukan secara menyeluruh mencakupi semua aspek dan setiap laporan diterima akan diteliti daripada pelbagai sudut. Buat masa ini misi utama adalah untuk mencari pesawat yang hilang itu terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan bersikap terbuka dalam isu tersebut dan akan menyalurkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat dari semasa ke semasa.

Selain meneliti semula rakaman  kamera litar tertutup dan mengenal pasti dua identiti penumpang yang menggunakan pasport palsu itu juga, Polis Diraja Malaysia kini bekerjasama dengan FBI  untuk menyelesaikan kemelut  kehilangan pesawat ini selepas siasatan mendapati kedua-duanya  tiba di KLIA pada 28 Februari  itu menaiki pesawat dari Doha, Qatar!

MH370 Hilang Tanpa Kesan

SHAH ALAM - Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 penerbangan MH370 ke Beijing yang dilaporkan hilang dari radar Sabtu lalu telah masuk hari ketiga.

Namun, sehingga jam 11 malam, masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan perkembangan positif terhadap misi tersebut.

Segala teknologi dan peralatan canggih  dari seluruh dunia telah dikerahkan dalam misi itu tetapi masih tiada hasil setakat ini.

Melihat kepada kegagalan sains moden dalam mengesan lokasi MH370, bekas ketua juruterbang 777 MAS, Kapten Noruddin Abd Majid tidak menolak kehilangan pesawat berkenaan adalah kerana kuasa tuhan.

"Dunia berada pada tahap teknologi yang tertinggi di mana seseorang berjalan di lorong pun dapat dilihat daripada angkasa dan dapat diketahui identitinya.

"Apa pun yang berlaku, sebagai orang beriman, ini adalah ketentuanNYA. Ini bukan pertama kali berlaku di mana pesawat hilang daripada udara," katanya yang dipetik pada laporan sebuah TV, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyentuh tentang kehilangan pesawat itu dari radar pada ketinggian 35,000 kaki secara tiba-tiba.

"Satu dunia sudah melihat di mana sebuah kapal terbang yang berada pada ketinggian 35,000 kaki dengan kelajuan 855 kilometer (km) sejam dan kalau tak silap 14.5 km seminit melepasi pantai timur semenanjung dan baru saja hendak memasuki ruang udara Vietnam, hilang secara tiba-tiba.

"Berdasarkan kenyataan (pihak berkuasa), sebelum masuk ruang udara Vietnam, dalam kawalan positif dengan Air Traffic Control (ATC), pesawat tiba-tiba hilang terus dari skrin radar. Tidak ada kesan langsung.

"Ini mengelirukan dan satu perkara ajaib yang kita kena terima. Dunia kena terima," katanya.

Ketika ditanya soal tindakan yang boleh dilakukan, beliau berkata doa adalah senjatanya.

"Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara, ekoran tiada petanda ataupun serpihan yang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dilancarkan.

"Kalau meletup sekalipun di udara, mesti ada serpihan. Pasti. Kerana pesawat ini terlalu besar. Enjinya adalah paling besar di dunia, sama saiz dengan badan Boeing 737.

"Tapi tak ada petanda. Tak ada serpihan. Tak ada tanda pada bacaan radar, jadi, tidak mungkin," katanya.

Beliau terlibat dalam operasi membawa pesawat Boeing 777-200 itu ke Malaysia pada tahun 2002.