Tuesday, 25 February 2014

Ammar Merasakan Ibubapanya Akan Dipenjarakan Kerana Bersalah Memukulnya

STOCKHOLM: "Saya hanya merasakan mereka akan didapati bersalah dan dipenjarakan," kata anak lelaki pasangan Malaysia di Sweden yang dibicarakan kerana didakwa memukul anak-anak mereka.

Ketika ditanya apa yang difikirkan Ammar, 12, mengenai masa hadapan, dia berkata ibu bapanya seperti akan dipenjarakan sebelum dia dapat bertemu mereka.

Namun, apabila anggota polis wanita Sweden bertanya apa yang difikirkan mengenai masa depannya, Ammar berkata, apa yang dia boleh fikir adalah memeluk kedua-dua ibu bapanya semula.

"Mereka akan masuk ke dalam penjara, saya tidak tahu untuk berapa hari atau bulan. Apabila mereka dibebaskan, saya boleh bertemu mereka semula," kata Ammar menerusi temuduga yang direkodkan lebih awal yang dipertontonkan di mahkamah daerah Solna di sini.

Azizul Raheem Awalluddin, seorang pengarah Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati Nurshal ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya bahawa dia dipukul, menyebabkan mereka membuat laporan mengenainya kepada pihak berkuasa.

Memasuki hari keempat perbicaraan, Azizul dilihat memakai jaket baharu berwarna hitam dan tali leher biru, manakala Shalwati memakai jaket berwarna kelabu bersama dengan baju kurung.

Walaupun Shalwati dilihat sentiasa menulis nota pada minggu lepas, ibu kepada anak orang anak itu kini memberi tumpuan kepada video yang dipertontonkan sejak Isnin lalu.

Dalam temubual yang direkodkan itu, Ammar mengakui dia jarang dipukul oleh ibunya dengan rotan, 'mungkin dua kali sebulan'.

Dia berkata, bapanya kadang kala menggunakan rotan ketika kelas al-Quran, tetapi tidak pernah benar-benar menggunakannya.

Ketika ditanya bila Ammar teringat saat dia pernah dirotan oleh bapanya, kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, ketika dia mencuri kad kredit ibunya untuk membeli permainan video.

"Saya meminta ibu untuk membelikan alat permainan itu beberapa kali tetapi dia enggan. Jadi saya bertindak mengambil kad kreditnya dan membeli permainan itu sendiri," kata Ammar.

Namun, Shalwati mengetahui perkara itu, menyebabkan Azizul bertindak memukul anaknya sebagai hukuman.

Ammar berkata, hukuman itu kekal diingatannya kerana dia merasakan bapanya lebih mementingkan wang berbanding dirinya.

"Saya melihat bapa benar-benar marah pada ketika itu," kata Ammar.

Ini bukan kali pertama Ammar memberitahu, adik-beradiknya yang lain turut dipukul kerana mencuri.

Ammar sebelum ini berkata, kakaknya Aishah turut dipukul beberapa kali kerana mencuri wang dan coklat.

Pada 10 Februari, Shalwati dan Azizul didakwa di atas tuduhan pencabulan integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera anak-anak mereka.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu dirumah mereka di Spanga, Stockholm antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Pasaran Terbuka Menindas Rakyat: Tan Sri Muhammad Ali Hashim

SHAH ALAM – Sistem ekonomi Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas tidak wajar ditolak namun umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana ia berteraskan sistem kapitalis bersifat zalim serta tidak memperjuangkan keadilan kepada pengguna di negara ini.


Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa pasaran bebas hanya menguntungkan golongan kaya manakala golongan miskin pula akan jauh ketinggalan sekali gus melonjakkan kadar inflasi yang tinggi.



Katanya lebih membimbangkan apabila kerajaan sendiri mengamalkan sistem liberal yang cenderung kepada amalan rasuah dan kompromi dalam urus tadbir ekonomi negara ini sekali gus menggalakkan monopoli ekonomi oleh syarikat korporat dan multi nasional.



“Pasaran bebas penting, tapi ada bahayanya sebab perkara ini berlaku di negara kita, yang kaya bertambah kaya, yang miskin jauh tinggal ke belakang, bukan sahaja di negara Islam bahkan ia berlaku di seluruh dunia.



“Kerajaan pula tidak boleh campur tangan dalam pasaran ekonomi namun mereka tidak boleh melupakan peranannya untuk menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara,” katanya pada Wacana Sinar ke-26 bertajuk ‘Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran’ di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata umat Islam perlu mencari sistem ekonomi alternatif termasuk wakaf korporat atau jihad bisnes yang menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam dalam keupayaan pemilikan harta.

PERKASA akui terima bantuan MKN, BTN, JASA


NGO pendesak PERKASA mengakui bahawa tiga agensi utama kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyalurkan bantuan kepada pertubuhan berkenaan bagi menjayakan programnya. 


Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata bantuan yang disalurkan oleh agensi kerajaan kepada pertubuhan itu bagaimanapun tidaklah sebanyak mana berbanding dengan usaha yang dijalankan untuk menarik sokongan golongan Melayu kepada BN. 

Syed Hassan berkata demikian bagi menjawab kenyataan anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Isa Samad yang tidak yakin dengan kemampuan PERKASA untuk mengantikan Umno dalam membela nasib orang Melayu. 

Beliau berkata, Isa membuat kenyataan tidak bertanggungjawab apabila menyatakan bahawa PERKASA sendiri pun banyak menerima bantuan Umno selama ini. 

“Perkasa harap Tan Sri Isa dpt senaraikan jumlah bantuan diberi kpd Perkasa untuk jayakan program selama ini. Berapa banyak? Berjuta-jutakah? Berbilion-bilionkah?,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Begitu juga dakwaannya bahawa agensi-agensi kerajaan bantu PERKASA. Kami tak nafikan ada agensi seperti MKN, BTN dan JASA bantu PERKASA untuk jayakan beberapa program terpilih yang mana pada PERKASA tidak lebih yg diberi kepada NGO lain termasuk NGO kaum Cina dan India. 

“Bantuan seperti pemberian kepada anak kecil itu usahlah diungkit-ungkit.

"Kalau nak banding apa yang PERKASA dah laksanakan untuk menarik sokongan balik Melayu kepada BN, apalah sangat jumlah bantuan yang agensi itu beri,” katanya.