Thursday, 20 February 2014

KENYATAAN MEDIA KETUA PENGARAH JAKIM BERKAITAN “ SEMINAR PEMIKIRANKASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN ”

1. JAKIM memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam“ SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN ” pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. 



2. Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut: 

i. Mempertikaikan Dua Kalimah Syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW. 

ii. Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab. 

iii. Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi 

iv. Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Qur’an 

v. Mentafsirkan semula al-Qur’an berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu 

vi. Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Qur’an bagi menggantikan hadith 

vii. Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad 

3. Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia. Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut: 
i. Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat. 

ii. Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan. 

iii. Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih. 

iv. adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama. v. Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam. 

vi. Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Qur’an 

vii. Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri. 

4. Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini. Disamping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian. 

5. Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam. Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan. 

6. Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam. 

7. Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini. Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam. 

8. Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi. 

Sekian, terima kasih. 
’Saya Yang Menurut Perintah’ 

DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA 19 Februari 2014

Kassim Ahmad Sahabat Mahathir Adalah Idealis Sesat

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis yang sesat dan mempunyai pemikiran kolot.
“Mempertikaikan hadis boleh memusnahkan ajaran Islam keseluruhannya, bagaimana dia boleh dianggap sebagai idealis? Sesat dan kolot. Tak perlu disanjung,” katanya kepada ISMAweb.net.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Seminar Pemikiran Pak Kassim: Satu Penilaian di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada hari Sabtu lalu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merasmikan seminar itu berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik, lapor akhbar Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, lapor akhbar itu juga, tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Kassim Ahmad merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.
“Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Penilaian Terhadap Perjuangan Kassim Ahmad.
Apabila ditanya berkenaan kenyataan kontroversi Kassim Ahmad seperti ‘kasta paderi’ dan rambut bukan aurat, Ustaz Abdullah berkata perkara itu bukan benda baru.
Kerajaan negeri Sabah pada 18 September 1986 telah mewartakan fatwa yang menyebut buku Kassim Ahmad bertajuk Hadith Satu Penilaian Semula adalah bercanggah dengan akidah Islam.
Fatwa itu juga menyebut pengarang buku itu termasuk dalam golongan orang-orang murtad, dan sekiranya undang-undang murtad telah dikuatkuasakan di negara ini, maka pengarang buku itu wajib dibunuh.
Ustaz Abdullah juga menyeru semua pihak agar mengambil berat soal akidah dan menyekat pemikiran yang bercanggah dengan Islam daripada mendapat liputan media dan disebarkan kepada masyarakat.   

Mufti Perak Kecam Mahathir Kerana Terpengaruh Ajaran Sesat

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengecam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga peneraju Perdana Leadership Foundation kerana menyokong dan mempertahankan pemikiran songsang, Kassim Ahmad.

Menurutnya, tindakan itu telah memberi ruang untuk menyegarkan semula fahaman terpesong itu walaupun ianya telah difatwakan sesat oleh kebanyakan negeri sebagai pemikir yang sesat dan menyeleweng dalam ajaran Islam.

"Saya hairan bagaimana Mahathir boleh terpengaruh dengan ajaran sesat Kassim Ahmad hingga sanggup mempertahankannya.

"Saya mengecam bekas perdana menteri (Mahathir) yang menyokong dan mempertahankan (kenyataan Kassim)," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya, dekat sini hari ini.

Harussani menjelaskan, kerajaan perlu menguatkuasaan undang-undang selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh banyak negeri termasuk Perak dan bertepatan dengan rukun negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang agar golongan sesat seperti Kassim Ahmad boleh diambil tindakan.

"Tidak ada gunanya bertempik bahawasanya perlembagaan Malaysia ada begitu begini tapi perlaksanaanya tiada.

"Kassim Ahmad sepatutnya wajib diambil tindakan kerana beliau telah difatwakan sesat oleh banyak negeri dan telah digazetkan," jelasnya lagi.

Harussani menyatakan, kenyataan Kassim Ahmad sangat merbahaya kepada akidah umat Islam kerana tokoh anti hadis itu menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam agama Islam.

Kassim Ahmad katanya menyerlahkan lagi kejahilannya apabila meletakkan ulama Islam sebaris dengan kasta paderi, begitu juga dalam mengistinbatkan ayat-ayat hukum berkaitan aurat.

"Saya menyeru Kassim Ahmad dan mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat," katanya.

Jelas beliau, Kassim bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa arab dan ilmu-ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam menginstinbat hukum sebaliknya hanya menggunakan ilmu logik.

"Saya menyeru kepada semua umat Islam agar jangan terpengaruh dengan ucapan beliau (Kassim Ahmad) kerana ia secara jelas bercanggah dengan asas-asas ajaran Islam," tegasnya.