Saturday, 11 January 2014

ANEH!!! Anak Didalam Perut Ghaib

PARIT BUNTAR - Keterujaan sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata kedua terbantut apabila kandungan yang sudah berusia lima bulan disahkan ghaib tiba-tiba, minggu lalu.


Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai  Liza, 30, berkata, seorang doktor perubatan mengesahkan janin dikandungnya ghaib ketika dia menjalani pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan, di sini.



Menurutnya, dua minggu sebelum kejadian, jururawat bertugas meminta supaya dia mengamalkan pemakanan sihat berikutan berat kandungan bayinya yang berusia hampir lima bulan ketika itu semakin berkurangan.



“Bagaimanapun, setelah hampir dua minggu berulang-alik ke klinik kesihatan itu untuk menjalani pemeriksaan rutin, kami dikejutkan dengan berita kehilangan bayi dalam kandungan secara tiba-tiba.



“Kami sememangnya tidak percaya bayi dalam kandungan hilang kerana kami baru sahaja melihat imej bayi itu melalui mesin pengimejan ultra sound beberapa hari sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.



Liza berkata, pada mulanya dia tidak mempercayai penjelasan diberikan petugas klinik kesihatan terbabit dan bertemu seorang doktor perbidanan serta sakit puan untuk mendapatkan kepastian.



Bagaimanapun, mangsa dan suami sekali lagi terkejut apabila hasil pemeriksaan doktor terbabit turut mengesahkan kehilangan janinnya.



“Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku, kami segera mendapatkan penjelasan mengenai fenomena pelik menimpa bayi kami di Hospital Parit Buntar.



“Hasil pemeriksaan kali ketiga di hospital itu sekali lagi mengesahkan kandungan saya hilang dan doktor memberi alasan kehilangannya disebabkan berlaku pengecutan pada janin,” katanya.



Menurutnya, sebalik pengesahan dibuat doktor, dia masih tidak berputus asa dan mencuba rawatan perubatan tradisional dengan harapan dapat memulihkan kandungannya.



Bagaimanapun, usaha Liza dan suaminya tidak berhasil apabila lima pengamal perubatan tradisional yang ditemui mendakwa bayi dalam kandungannya dilarikan makhluk halus atau orang bunian.



“Kini, saya trauma dan sering menangis melihat barang kelengkapan bayi yang dibeli sebelum ini sebagai persediaan menyambut anak yang dijangka lahir April ini.



“Namun begitu, saya dan suami reda dengan ketentuan Ilahi serta percaya ada hikmah di sebalik kejadian aneh ini,” katanya.



Liza turut menjelaskan, dia kini menunggu panggilan daripada Hospital Taiping untuk menjalankan rawatan mencuci rahimnya meskipun kandungannya disahkan hilang.



“Kejadian yang berlaku turut menginsafi kami sekeluarga dan saya berharap kejadian aneh ini dapat dijadikan pengajaran kepada ibu mengandung lain,” katanya.

Krisis Khalid Dan Azmin Semakin Serius


Timbalan Presiden PKR Azmin Ali telah digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) berikutan keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa surat yang  memaklumkan kepada Azmin mengenai penggugurannya itu dihantar pada jam 11 pagi semalam.

PKNS, sebuah konglomerat milik kerajaan negeri, adalah pemaju hartanah utama dan pelabur dalam perniagaan utama di Selangor.

Sumber itu berkata penyingkiran itu dibuat walaupun penasihat
undang-undang negeri dan PKNS menasihatkan supaya Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, dikekalkan.

Alasan yang diberikan oleh menteri besar ialah Azmin telah memulangkan kenderaan rasmi dan keistimewaan lain kepada PKNS sebelum pilihan raya umum lepas, kata sumber itu yang mengetahui mengenai kertas exco mengenai perkara itu.

Sambil menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai "tidak masuk akal", sumber itu berkata, Azmin memulangkan keistimewaan itu selaras dengan garispanduan kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Menurut sumber itu, Abdul Khalid yang juga pengerusi PKNS, telah mempengerusikan dua mesyuarat lembaga pengarah perbadanan itu selepas pilihan raya umum tetapi enggan menjelaskan kedudukan Azmin dan dua orang lagi penyandang yang dilantik oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Abdul Khalid kemudian tiba-tiba meminta surat exco mengenai kedudukan mereka dalam lembaga pengarah PKNS - ADUN Cempaka Iskandar Abdul Samad, bekas ADUN Kinrara Teresa Kok dan Azmin - kata sumber itu.

'Seorang penyandang dikekalkan '

Kertas exco diminta adalah kerana wujud kekaburan berhubung peraturan mengenai tempoh tepat ahli lembaga PKNS yang dilantik dalam agensi kerajaan negeri itu dan juga pelantikan semula mereka.

Kertas exco itu disampaikan kepada Abdul Khalid pada 13 November
tahun lalu dan beliau membuat keputusan untuk menggugurkan Azmin pada 4 Disember, kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, Iskandar, yang juga ADUN PAS di Selangor, dikekalkan dalam lembaga pengarah PKNS.

Pengguguran Kok, bekas exco kanan kerajaan negeri yang menyerah kerusi DUN beliau di Selangor untuk memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, memang telah dijangka.

Azmin merupakan pengkritik kuat Abdul Khalid, yang menggesa menteri besar itu supaya berbelanja untuk pembangunan dan bukannya terkumpul rizab negeri ini yang berjumlah hampir RM3 bilion tahun lepas.

Azmin pernah meletak jawatan dalam lembaga pengarah PKNS pada tahun 2010, tetapi menafikan ia disebabkan oleh perselisihan dengan Abdul Khalid.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia untuk memberi laluan kepada calon-calon yang lebih muda yang "lebih disukai" oleh menteri besar.

Pengguguran terbaru Azmin itu berlaku hanya dua bulan sebelum pemilihan parti PKR, yang bakal menyaksikan perebutan jawatan tertinggi di kalangan pemimpin utamanya. (MK)

Subhanallah!!!! Unta Kenal Tuannya Walau Sudah Dijual

Riyadh: Seekor unta menunjukkan emosi seperti manusia dan ingatan yang kuat apabila ia memeluk bekas pemilik warga Arab Saudinya dengan penuh kasih sayang selepas berjumpa kembali sejak sekian lama. 

Bekas pemilik unta itu sendiri terkejut apabila unta berkenaan berlari mendapatkannya dan membelit bekas pemilik terbabit dengan lehernya yang panjang itu. 

Rindu unta peliharaan 

Lelaki berkenaan yang namanya tidak didedahkan dikatakan melawat ladang haiwan kepunyaan pemilik barunya kerana merindui unta yang pernah dipeliharanya itu. 

Satu gambar yang diterbitkan akhbar berbahasa Arab, Sada Arabic menunjukkan petani itu dipeluk unta berkenaan dengan lehernya. 

Laporan itu menyebut, Ia membelit leher bekas pemiliknya seolah-oleh mengatakan walaupun kamu sudah menjual saya, saya masih menyayangi kamu. 

Gambar itu yang turut disiarkan beberapa laman sosial, segera mencetuskan pelbagai ulasan, kebanyakannya menyatakan rasa terharu berikutan kasih sayang yang ditunjukkan unta dan bekas pemiliknya. 
Mereka juga terkejut dengan reaksi haiwan itu. 

Walaupun lelaki berkenaan mengetahui unta itu akan mengenali beliau, beliau tidak menjangka binatang itu akan menunjukkan reaksi demikian terhadap manusia.