Wednesday, 10 September 2014

Siapa Yang Bertanggungjawab Membocorkan Soalan UPSR

KUALA LUMPUR: Kertas Peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ditangguhkan pada 30 September kerana didapati bocor.

Menurut kenyataan media Lembaga Peperiksaan (LP) yang dikeluarkan hari ini, Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

"Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 ditangguhkan.

"Tarikh baharu bagi peperiksaan Sains 018, 028, 038 adalah pada 30 September 2014," kata Dr Na'imah.

Ujarnya, Lembaga Peperiksaan juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.