Friday, 21 March 2014

MH370 Kemungkinan Terhempas Akibat Hilang Kawalan

Operasi menyelamat pesawat MH370 yang hilang diketuai Australia berakhir malam tadi tanpa sebarang serpihan ditemui, tetapi misi pencarian di kawasan perairan 2,500 km daripada Perth mencadangkan kemungkinan besar berlakunya kecemasan dalam Boeing 777-200ER tersebut, lapor The Sydney Morning Herald (SMH) hari ini.

Pesawat dan kapal melakukan pencarian semalam walaupun cuaca buruk untuk mencari objek termasuk sepanjang 24meter terapung di kawasan perairan Australia.

The Sydney Morning Herald mengatakan lokasi serpihan di Lautan Hindi “akan melenyapkan beberapa teori liar tentang apa yang berlaku dalam pesawat dan kecemasan dalam pesawat menjadi kemungkinan terbesar sekarang.”

Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac dengan 239 penumpang termasuk anak kapal untuk ke Beijing.

Putrajaya mengatakan semalam imej satelit merupakan “petunjuk boleh dipercayai” bagi misi pencarian yang disertai 26 negara itu.

Menurut The Sydney Morning Herald, kecemasan mungkin berlaku dalam pesawat tersebut yang cuba berpatah balik, tetapi komplikasi mungkin menyebabkan kru dan penumpangnya tidak sedarkan diri sehingga pesawat terbang dengan sendirinya dan terhempas apabila minyak habis.

Dengan imej satelit objek besar yang dikatakan Australia dikesan empat hari lalu, The Sydney Morning Herald mencadangkan pesawat MH370 tidak mungkin dirampas. ~tmi