Saturday, 11 January 2014

Krisis Khalid Dan Azmin Semakin Serius


Timbalan Presiden PKR Azmin Ali telah digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) berikutan keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa surat yang  memaklumkan kepada Azmin mengenai penggugurannya itu dihantar pada jam 11 pagi semalam.

PKNS, sebuah konglomerat milik kerajaan negeri, adalah pemaju hartanah utama dan pelabur dalam perniagaan utama di Selangor.

Sumber itu berkata penyingkiran itu dibuat walaupun penasihat
undang-undang negeri dan PKNS menasihatkan supaya Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, dikekalkan.

Alasan yang diberikan oleh menteri besar ialah Azmin telah memulangkan kenderaan rasmi dan keistimewaan lain kepada PKNS sebelum pilihan raya umum lepas, kata sumber itu yang mengetahui mengenai kertas exco mengenai perkara itu.

Sambil menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai "tidak masuk akal", sumber itu berkata, Azmin memulangkan keistimewaan itu selaras dengan garispanduan kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Menurut sumber itu, Abdul Khalid yang juga pengerusi PKNS, telah mempengerusikan dua mesyuarat lembaga pengarah perbadanan itu selepas pilihan raya umum tetapi enggan menjelaskan kedudukan Azmin dan dua orang lagi penyandang yang dilantik oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Abdul Khalid kemudian tiba-tiba meminta surat exco mengenai kedudukan mereka dalam lembaga pengarah PKNS - ADUN Cempaka Iskandar Abdul Samad, bekas ADUN Kinrara Teresa Kok dan Azmin - kata sumber itu.

'Seorang penyandang dikekalkan '

Kertas exco diminta adalah kerana wujud kekaburan berhubung peraturan mengenai tempoh tepat ahli lembaga PKNS yang dilantik dalam agensi kerajaan negeri itu dan juga pelantikan semula mereka.

Kertas exco itu disampaikan kepada Abdul Khalid pada 13 November
tahun lalu dan beliau membuat keputusan untuk menggugurkan Azmin pada 4 Disember, kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, Iskandar, yang juga ADUN PAS di Selangor, dikekalkan dalam lembaga pengarah PKNS.

Pengguguran Kok, bekas exco kanan kerajaan negeri yang menyerah kerusi DUN beliau di Selangor untuk memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, memang telah dijangka.

Azmin merupakan pengkritik kuat Abdul Khalid, yang menggesa menteri besar itu supaya berbelanja untuk pembangunan dan bukannya terkumpul rizab negeri ini yang berjumlah hampir RM3 bilion tahun lepas.

Azmin pernah meletak jawatan dalam lembaga pengarah PKNS pada tahun 2010, tetapi menafikan ia disebabkan oleh perselisihan dengan Abdul Khalid.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia untuk memberi laluan kepada calon-calon yang lebih muda yang "lebih disukai" oleh menteri besar.

Pengguguran terbaru Azmin itu berlaku hanya dua bulan sebelum pemilihan parti PKR, yang bakal menyaksikan perebutan jawatan tertinggi di kalangan pemimpin utamanya. (MK)