Sunday, 22 December 2013

GST Manfaatkan Segolongan Kecil: Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 21 Dis: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu rakyat negara ini mengalami nasib sama di Amerika Syarikat di mana jurang ekonomi yang kian melebar antara golongan kaya dan miskin.
Katanya, Pakatan Rakyat membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan kerana sistem cukai itu , tetapi kerana ia lebih memihak kepada tauke-tauke besar dan kroni.
Anwar"Di antara kecaman kuat terhadap sistem kapitalis di Amerika Syarikat ialah kerana pertumbuhan ekonomi itu memberi manfaat kepada golongan kecil.
"Saya ke sana baru-baru ini dan meneliti laporan terkini 2010 hingga 2012. Kekayaan yang bercambah itu mencecah trilion ringgit tetapi dimanfaatkan oleh kurang dari satu peratus rakyat di sana," katanya ketika berucap semasa pelancaran kempen 'Faham GST - Tolak GST' di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru malam tadi.
Kempen berkenaan turut menampilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pimpinan Pakatan yang lain beserta beberapa NGO.
Abdul Hadi dalam ucapannya mengatakan GST sebagai zalim  kerana dikenakan kepada semua golongan rakyat sama ada kaya atau miskin.
"Islam menetapkan zakat ini kena pada orang yang kaya dan berada untuk diagihkan kepada mereka yang tidak berada.
"Percukaian dalam Islam yang dikenakan termasuk kepada orang Islam menetapkan sekiranya sumber negara sudah cukup, maka cukai dihapuskan," tegasnya.
Sementara itu, Lim Kit Siang pula membidas pihak yang mengatakan negara akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.
"Apa yang menyebabkan suatu negara muflis bukan sebab ada cukai seperti GST atau tidak tetapi kerana negara itu korup, rasuah, banyak pembaziran, keborosan dan mempunyai kerajaan yang tidak baik," katanya.

Najib Jual Aset Negara Untuk Tampong Defisit?

PKR menggesa agar satu sidang tergempar Parlimen dilangsungkan untuk membincangkan kemungkinan aset negara yang telah dijual sebagai langkah terakhir kerajaan BN untuk mencapai sasaran defisit negara.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (bawah) berkata beliau terkejut apabila penjualan itu dilaporkan dalam laporan terkini Bank Dunia yang terkini, 'Malaysia Economic Monitor: December 2013'.

Beliau memetik halaman sepuluh laporan itu yang memperincikan rancangan kerajaan untuk mencapai sasaran defisit empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2013 berbanding 4.5 peratus dalam tahun 2013.

Menurut laporan itu, pendapatan tambahan RM11.8 bilion yang melebihi anggaran belanjawan asal terdiri daripada RM7.4 bilion daripada sumber bukan cukai.

Ini termasuklah RM1.4 bilion daripada penjualan aset dan RM4.2 bilion daripada pensekuritian gadai janji kerajaan.

Gadai janji kerajaan adalah pinjaman yang diberikan kerajaan dan digunakan untuk membeli rumah atau hartanah.

Pensekuritian gadai janji pula adalah proses mengumpulkan gadai janji dan menjualkannya kepada pelabur untuk mendapatkan wang tunai.

"Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya," kata anggota Parlimen Pandan itu.

Rafizi mengesyaki rancangan menjual aset negara itu sudah pun berlaku kerana sasaran kadar defisit empat peratus dalam tahun 2013 telah gagal.

"Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.

"Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan malam ini supaya permohonan sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin," katanya.