Friday, 13 December 2013

Ustaz Kazim Gagal

Ustaz Kazim gagal lepasi rintangan dakwah pertama, kata Suhaizan????Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat menyifatkan pendakwah popular Mohammad Kazim Elias gagal melepasi rintangan sebagai ahli parti Islam itu apabila mengalah dengan mudah selepas menerima kritikan dan tohmahan...Jelas Suhaizan, Mohammad Kazim yang polular dengan panggilan 'ustaz Kazim' sepatutnya menghadapi segala cabaran tersebut sebagaimana yang pernah dilalui pemimpin PAS sebelum ini.

"Sebenarnya kita dalam PAS ada proses tapisan di mana tapisan ini bermaksud setiap orang akan melalui pelbagai ujian dalam dia bergerak dalam PAS.

"Jadi ada yang berjaya menghadapi ujian ini dan ada yang sebaliknya, bagi kita ustaz Kazim gagal melepasi ujian itulah," katanya kepada Antarapos.

Jelas beliau, ramai tokoh dan pemimpin PAS telah menempuh pelbagai cabaran sehingga meletakkan mereka mencapai kedudukan utama dalam parti.

"Ramai pemimpin PAS pada hari ini telah melalui proses itu dan ia bukan perkara baru...sebelum ini pernah berlaku dan ini bukan pelik," katanya mengulas mengenai kritikan terhadap Kazim selepas dilantik sebagai ahli Majli Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini.

Awal minggu lalu Mohammad Kazim mengumumkan keputusan keluar daripada PAS kerana kecewa dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh pucuk pimpinan dan anggota parti itu sejak sekian lama.

Bagaimanapun PAS Pusat menjelaskan Kazim sudah dipecat keanggotaannya sejak Mei lalu.

Mohammad Kazim berkata fitnah dan tohmahan itu semakin bertubi-tubi apabila beliau ditawarkan tempat sebagai anggota MT Umno, meskipun beliau belum menyatakan pendirian mengenai pelantikan itu.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menyerahkan kepada Presiden Umno itu untuk mengumumkan kedudukannya berkaitan isu pelantikan itu.

Bagaimanapun pada 4 Disember Muhammad Kazim mengumumkan menolak pelantikannya sebagai Ahli MT Umno.

Menurut pendakwah muda ini, keputusan menolak pelantikan tersebut dibuat atas tiga perkara iaitu komitmen luar sebagai penceramah, mahu menjaga urusan pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah dan ingin menjaga nama baik Umno daripada terus difitnah.

PAS bukan parti tawarkan jawatan

Suhaizan menambah PAS bukan seperti Umno yang akan menawarkan jawatan kepada sesiapa sahaja yang dirasakan perlu bagi membantu memperkuatkan parti.

Ini kerana tegas beliau, PAS bukan syarikat atau agensi yang menawarkan peluang pekerjaan kepada umum.

"Parti ini bukan tawaranlah, kita (ahli) yang berkhidmat kepada parti...kita bukan agensi kerajaan atau swasta yang menawarkan pekerjaan.

"Ahli itu mesti 'contribute' kepada parti, itu sahaja...konsep itu (parti kepada ahli) salah.

"Maknanya parti menawarkan kerja kepada ahli, tidak...kita mesti 'contribute' kepada parti," katanya.

Bagaimanapun beliau menghormati keputusan dibuat Muhammad Kazim untuk menyertai Umno.

"Saya rasa kalau beliau nak masuk Umno itu saya hormatlah pendirian beliau itu, semoga beliau berjayalah dalam Umno.

"Diri masing-masing, kalau beliau rasa perlu kepada Umno kita tidaklah kata bangkang tapi kita hormat keputusan beliau itu," katanya.

Untuk rekod pada 29 November lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Mohammad Kazim adalah antara sembilan anggota MT yang dilantik bagi melengkapkan jumlah 13 Majlis Tertinggi tambahan yang diputuskan presiden Umno mengikut Fasa 9.2.8 Perlembagaan Umno.